TUNKU ABDUL RAHMAN AL HAJ


KEHIDUPAN PERIBADI


Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.
Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

PENDIDIKAN


Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.
Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera(Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya keIndia. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku BadlishahPemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.
Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.
Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949. Setelah belajar 25 tahun , barulah Tunku layak menjadi peguam.[1]
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976


KERJAYA POLITIK


Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.
Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafarmengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Laluan ke kemerdekaan


Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Sebagai Perdana Menteri

Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.
Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, SabahSarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.
Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskanrusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.
Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

MENINGGAL


Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang.Apabila sakit beliau dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur .Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87.Jenazah dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku dan esoknya disemadikan di Makam Diraja LanggarAlor Star.

No comments:

Post a Comment